Monday, September 28, 2009

MASYARAKAT MAJMUK

Islam diutuskan ke alam semesta ini untuk membentuk umat manusia yang bersatu padu, bertoleransi dan saling berganding bahu meneruskan kehidupan ke arah kesejahteraan dan keamanan sejagat. Oleh sebab itulah salah satu misi utama Rasulullah sebaik sahaja baginda menjejakkan kaki di Madinah ialah mempersaudarakan golongan Ansar di Madinah dengan golongan Muhajirin dari Makkah yang amat memerlukan perlindungan dan bantuan setelah mereka berhijrah ke sana dalam keadaan sehelai sepinggang.

Mesej yang tersurat dan tersirat di sebalik misi tersebut ialah untuk memupuk suatu ikatan persaudaraan yang kukuh lagi unik berdasarkan ketakwaan yang kudus kepada Allah. Pendek kata, ketundukan dan pengabdian ke atas perintah Allah menjadi keutamaan dan ia mengatasi kepentingan-kepentingan duniawi yang lain seperti kekeluargaan, keturunan, kebangsaan dan sebagainya. Hasilnya, lahirlah sebuah generasi Rabbani di bawah pimpinan Rasulullah, mengorak langkah gemilang mencipta kejayaan demi kejayaan dalam segala lapangan hidup.

Dari sini jelas bahawa Islam bukanlah al-Din yang menganjurkan persaudaraan kepada satu-satu kaum sahaja, sebaliknya Islam ialah al-Din yang bersifat sejagat yang melewati sempadan kaum, bangsa, bahasa dan negara. Malah, sifat kesejagatan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi layanan yang sama rata oleh Rasulullah ke atas para sahabatnya yang berasal dari berbagai-bagai bangsa, keturunan dan warna kulit. Perbezaan yang wujud itu tidak menjadi penghalang bagi Rasulullah untuk melahirkan sebuah masyarakat madani yang kuat dan mampu memikul amanah Islam ke seluruh pelusuk bumi Allah ini.

Sejurus selepas Rasulullah menubuhkan sebuah negara Islam di Madinah, baginda telah merangka Piagam Madinah dengan matlamat untuk mencipta keharmonian politik dengan kesejahteraan hidup bermasyarakat majmuk. Masyarakat Madinah merupakan contoh terbaik tentang kerukunan hidup bernegara mahupun hidup beragama. Piagam Madinah bertindak sebagai medium konkrit yang menyatukan berbagai-bagai golongan, ras, suku dan agama sebagai sebuah masyarakat majmuk yang harmoni sepanjang sejarah.

Dalam konteks ini, Islam telah memainkan peranan penting dalam membangun peradaban yang terbilang sebagaimana yang telah dibuktikan oleh generasi Rasulullah dan generasi para sahabat selepasnya. Dalam Islam, iman, amal dan akhlak merupakan ramuan utama yang telah melonjakkan generasi terdahulu ke arah kegemilangan dan kesejahteraan hidup. Dalam hal ini, sejarah telah membuktikan betapa banyaknya peradaban besar yang runtuh akibat meminggirkan Islam.

Dalam Islam, iman menjadi aset terpenting untuk menumbuhkan kesedaran beragama dan berakhlak dalam realiti kehidupan semasa. Keyakinan yang penuh kudus kepada Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui mencetuskan keinsafan batin dalam jiwa seseorang Muslim. Iman yang sebenar kepada Allah menciptakan kedamaian dan ketenteraman jiwa. Dengan cara itu, Muslim akan lebih mendalam penghayatannya terhadap Islam di samping lebih luhur keperibadiannya yang kemudiannya berupaya membangun sebuah masyarakat yang harmoni.

Muslim yang mantap imannya dan terpuji akhlaknya pantang berbuat sesuatu yang mengeruhkan keharmonian masyarakatnya kerana dia menginsafi bahawa segala gerak gerinya dan perbuatannya sedang dilihat dan dipantau oleh Tuhan Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Sedangkan amalan jenayah, rasuah, sikap prejudis, penindasan dan sebagainya yang berleluasa di dalam sesuatu masyarakat berpunca daripada ketiadaan iman yang mapan.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan. (Surah al-A’raf, ayat 96)
Maksud ayat suci di atas secara umum menegaskan bahawa tegaknya sesebuah peradaban kerana tonggak iman, amal dan akhlaknya bertapak kukuh dalam kehidupannya. Sebaliknya hancurnya sesebuah peradaban kerana masyarakatnya menghadapi krisis iman, amal dan akhlak yang meruncing.

Dalam konteks yang lebih luas, Islam merupakan al-Din yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah, maka Islam dari awal-awal lagi menganjurkan umat Islam agar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu-satu kaum atau bangsa-bangsa tertentu. Malahan kesemuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya. Sedangkan Islam ialah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anbia, ayat 107 maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.”

Rasulullah adalah teladan dan contoh terbaik sehingga telah berjaya mencipta sebuah masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai bangsa iaitu orang-orang Islam, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin untuk hidup bersatu padu dan bermuafakat di bawah naungan pemerintahan Rasulullah sendiri. Baginda kerap kali menziarahi orang sakit dan juga mengunjungi orang yang meninggal biarpun berlainan agama.

Malahan perbezaan akidah tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan antara kaum, sebaliknya mereka saling bekerja sama dan berganding bahu dalam membangunkan negara Madinah ketika itu, terutamanya dalam membangunkan sektor ekonomi, sosial, pertahanan dan keamanan negara. Ini kerana agama yang berbeza bukanlah suatu penghalang yang besar ke arah mewujudkan satu hubungan kemanusiaan yang bersifat harmoni dan erat antara sesama komuniti.

Ini selaras dengan firman Allah dalam surah al-Mumtahinah, ayat 8 bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Jelas di sini bahawa Islam tidak melarang umatnya dari mengadakan hubungan yang intim dan diplomasi dengan kaum lain dalam perkara-perkara yang membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia sejagat asalkan mereka bukanlah daripada kalangan orang yang memusuhi Islam. Di samping itu, Islam memerintahkan umatnya agar menonjolkan ketrampilan akhlak terpuji dan terbaik kepada kaum-kaum lain supaya dapat diserlahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi di samping dapat membuka pintu hati orang bukan Islam akan keindahan dan kesejahteraan yang menghiasi Islam itu sendiri.

Seterusnya, sudah menjadi tradisi umat Islam semenjak zaman Rasulullah lagi sebagai umat yang terbaik dilahirkan Allah di bumi ini untuk menghembuskan roh kedamaian dan kerahmatan untuk dihirup oleh sekelian penghuni alam semesta ini.

Ini tidak bermakna bahawa Islam memerintahkan umatnya supaya memaksa seluruh warga manusia agar menganut Islam dalam kehidupan mereka, sedangkan Allah menegaskan bahawa tidak ada paksaan dalam Islam sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah, ayat 256 maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

Pengertian ayat suci tersebut menjelaskan bahawa salah satu dari asas agama Islam ialah tidak adanya sesuatu paksaan. Yang perlu ialah memberikan penerangan dan dakwah kepada orang ramai dengan cara yang baik dan bijaksana serta dengan contoh-contoh amalan yang baik menurut ajaran Islam yang sebenarnya, bukannya dengan kekerasan dan penindasan yang kejam.

Inilah rahsia sebenar kejayaan generasi Rasulullah dan generasi selepasnya dalam membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bermuafakat dan bersatu padu dalam mengharungi cabaran hidup yang penuh pancaroba. Lebih-lebih lagi era pascamoden dan globalisasi tanpa sempadan yang menaungi di alaf baru kini sedikit sebanyak mencabar umat Islam untuk bersama-sama dengan umat manusia yang lainnya bekerja keras untuk mencipta kesatuan yang utuh dan juga kecemerlangan dalam pelbagai bidang hidup.

Tulisan asal oleh Dr Engku Ahmad Zaki

No comments:

Post a Comment