Tuesday, September 22, 2009

Puasa 6 hari Bulan Syawal

Abu Ayyub Al-Ansari r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.

Sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.
Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama adalah:

l Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Maka puasa enam itu boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah tamat bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (ali ‘Imran: 133)

Melaksanakan puasa sunat Syawal sebelum qada puasa Ramadan.
Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.

Pendapat pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah r.a pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Syaaban yang akan datang. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya. Ini berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal. Hadis tersebut berbunyi: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.

Rasulullah SAW mensyaratkan “berpuasa Ramadan” dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana ia lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat.

Ini disokong dengan ayat 133 surah ali-Imran yang dikemukakan tadi. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal sunat.

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menggabungkan puasa qada dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Ulama berbagai pendapat dalam hal ini. Sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Ada di kalangan ulama berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.
Namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qada atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya).

“Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadan kemudian berpuasa pada bulan Syawal.

“Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam)”.

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qada dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus melakukan solat fardu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT.

Memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

Ini juga lebih berhati-hati dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Tulisan asal oleh DR. ABDUL BASIT ABD. RAHMAN

No comments:

Post a Comment