Friday, November 20, 2009

LEBAH MADU - MADU LEBAH



Al quran surah An Nahl ayat 68- 69

68. “Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.”

69. “..Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang meyumbuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Hadith dari Ibnu ‘Abbas r.a. dari Nabi saw.:

“Kesembuhan dari penyakit itu adalah dengan melakukan tiga hal: berbekam, minum madu dan dibakar dengan besi panas. Tetapi aku melarang umatku membakar dengan besi panas.”
Shahih Bukhari hadith ke 1663.

Dari ‘Asiah r.a, Nabi saw. amat gemar pada makanan manis-manis dan madu.
Shahih Bukhari hadith ke 1664

Hadith dari Abu Sa’id r.a.: Ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw. dan berkata: “Saudara saya sakit perut.” Rasul menjawab: “Beri ia madu!” Kemudian orang itu datang lagi untuk kali kedua. Rasul berkata lagi: “Beri ia madu!”. Kemudian orang itu datang lagi kali ketiga. Rasul berkata lagi: “Beri ia madu!”. Kemudian orang itu datang lagi dan berkata: “Telah saya lakukan” Rasul menjawab: “Tuhan benar. Perut saudaramu yang bohong. Beri ia madu!”. Setelah itu diberikannya lagi madu kepada saudaranya, dan sembuhlah penyakitnya.

Shahih Bukhari hadith ke 1665.

Lebah madu ialah serangga yang mempunyai tiga sifat yang mulia lagi terpuji iaitu:

1. Di mana sahaja ia hinggap, ia tidak akan merosakkan tempat tersebut. Maskipun makanannya (madu) diambil daripada bunga, namun bunga dan dahan tidak pula dirosakkan.

2. Lebah hanya mengambil dan mengeluarkan yang baik sahaja. Makanannya ialah pati bunga (madu) yang dipilih dan dikeluarkan madu, makanan yang sangat tinggi khasiatnya.

3. Lebah tidak mengganggu haiwan atau makhluk lain. Apabila diganggu, lebah akan menuntut maruah darinya. Samada haiwan atau manusia yang mengganggunya terjun ke dalam air, lebah tetap menanti di atasnya.

Adakah kita mempunyai sifat-sifat di atas?. Tepuklah dada tanya iman, jika ada Alhamdulillah dan jika sebaliknya kita adalah spesis lebih rendah dari serangga lebah.

Saturday, November 7, 2009

Adakah perlu memanaskan enjin kenderaan di waktu pagi?.

Tujuan memanaskan enjin dilakukan untuk menjaga enjin, supaya sentiasa berprestasi tinggi dan jangkahayat enjin mejadi panjang.

Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan. Kempen yang sama turut dilakukan di Negara Kanada, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Mereka malah menetapkan undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan idle melebihi 5 minit.

Les Ryder seorang jurutera syarikat Ford, Amerika Syarikat berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan ini, perjalanan enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin di dalam keadaan idle adalah bukan cara yang terbaik, tetapi lebih baik jika memandunya.



Keburuknya adalah:

1. Pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan menjadi cair; hilang likatnya dan hilang kecekapannya.

2. Mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan meningkatan penggunaan bahan api.

3. Kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan idle, menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.

4. Kenderaan morden biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air yang dapat mengurangkan pencemaran udara. Jika enjin berada di dalam keadaan idle, komponen ini tidak berfungsi, dan mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Jangan tinggalkan enjin kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idle maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidak berpungsi.

Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan membazirkan wang ringgit. Salah satu perkara kebaikan semasa enjin ditinggalkan dalam keadaan idle, supaya bahan pelinciran akan melincinkan komponen yang bergerak di dalam enjin. Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Tetapi perlu diketahui bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir yang dijalankan oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam minyak pelincir berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin.

Rujukan dari TKO .